Pluralisme Dan Liberalisme Gugat Akidah Umat Islam

DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)


SEMINAR Dakwah Nasional baru-baru ini memutuskan tiga resolusi yang memerlukan tindakan segera bagi membendung umat Islam di Malaysia terus terjebak dengan pelbagai dakyah dan tribulasi pemikiran sehingga boleh menyebabkan kehidupan beragama sebagai satu pilihan peribadi dan bersifat personal.

Resolusi pertama berkaitan menularnya pelbagai aliran pemikiran dan falsafah yang bercanggah dengan akidah Islam antaranya fahaman Syiah, falsafah liberalisme dan pluralisme agama, falsafah kebebasan mutlak dan rasionalisme tanpa batas. Aliran pemikiran itu boleh mengakibatkan keyakinan terhadap agama akan berubah, kerana fahaman tersebut membawa kepada persoalan rasionalisme tanpa had dan kemunasabahan yang mujarad.

Resolusi kedua memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara manakala resolusi ketiga ialah dakwah sebagai tonggak kekuatan ummah.

Bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak menjadi "ketegangan politik dan kepentingan", setiap rakyat bertanggungjawab untuk tidak mengeluarkan pelbagai komen yang boleh mencetuskan kekeliruan, semua pihak berusaha memperkasakannya dengan mengambil inisiatif memelihara dan melaksanakan dasar yang selaras dengan prinsip Islam dan kedudukannya sebagai agama rasmi Persekutuan.

Bagi menggerakkan resolusi ketiga, semua pihak dari agensi kerajaan hinggalah pertubuhan bukan kerajaan perlu melaksanakan dakwah secara bersepadu dengan mewujudkan sebuah urus setia dakwah dan membentuk kurikulum dan modul dakwah di samping menubuhkan sebuah badan bagi mengumpulkan semua ulama menerusi Majlis Ulama Kebangsaan.

Antara ketiga resolusi, resolusi pertama merupakan keputusan yang amat sukar dilaksanakan kerana ia melibatkan pemugaran pemikiran umat Islam daripada sebarang fahaman dan falsafah yang sentiasa diperbaharui oleh banyak pihak, termasuk cendekiawan Islam sendiri hasil ketakjuban mereka kepada pemikiran ilmiah yang dikembangkan oleh Barat. Pada hakikatnya, pemugaran pemikiran mempunyai asas kukuh dalam lintas sejarah Islam itu sendiri.

Pengamat Islam terkenal, John L Esposito pernah menyebut bahawa zaman kegemilangan dan kejayaan Islam terakam pada era Abbasiyah di mana rakyat dan umat Islam terbiasa dihidangkan oleh pelbagai macam pemikiran dan keilmuan yang terhasil daripada karya-karya kaum cerdik pandai dan kaum intelektual. Dengan adanya budaya cinta ilmu inilah, masyarakat Islam pada era itu banyak menyumbangkan idea dan gagasan kemajuan yang kemudiannya dicedok oleh ilmuan Barat.

Pertembungan pemikiran rasionalisme yang berasal daripada falsafah pemikiran Yunani itu sebenarnya diperkemaskan menerusi penemuan-penemuan baharu berdasarkan penyelidikan dan penciptaan pengetahuan yang memisahkan falsafah agama. Bahasan pemikiran yang bersifat rasional itu kemudiannya berkembang menjadi falsafah pemikiran sekular yang menolak agama kerana agama dilihat sebagai faktor yang tidak menyumbang kepada perubahan dan kemajuan.

Falsafah itu kemudiannya cuba digunakan sebagai senjata untuk melemahkan tradisi keintelektualan Islam apabila belenggu kegelapan yang melanda Eropah sejak doktrin gereja "memenjarakan kreativiti manusia" kerana tradisi agama dan keilmuan Islam telah muncul sebagai faktor kekuatan dan ketamadunan.

Ketekunan para orientalis melihat kepada kedalaman ilmu-ilmu Islam itu melahirkan keinginan untuk memintasnya dengan membina semula asas-asas berdasarkan prinsip logik yang terpisah dan berasingan dengan konsep keimanan. Bagaimanapun, tidak semua percubaan itu menemui kejayaan sehinggalah tradisi ilmiah Barat menemukan semula kehebatannya sehingga menyebabkan lebih ramai umat Islam menuju ke Barat untuk belajar manakala tradisi pendidikan Islam masih tidak berubah. Hasil penjajahan yang lama, ramai masyarakat Islam mula menilai bahawa ilmu pengetahuan yang berkembang di Barat itulah yang boleh memenuhi tuntutan moden kerana ia adalah lebih praktikal dan bersifat teknikal.

Pada 1970-an dan 1980-an, hasil tradisi rasionalisme ilmiah Barat, ramai tokoh agama mula mencari bentuk universalisme pelbagai agama berdasarkan nilai-nilai baik yang boleh dikongsikan bersama. Awal 1990-an, nilai-nilai kesejagatan antara agama itu tidak banyak diperkatakan sehinggalah muncul kebimbangan baharu pada 1995 menerusi teori "pertembungan peradaban", yakni Islam dituduh sebagai ancaman utama kepada kapitalisme-liberal.

Serangan pemikiran itu kemudiannya disusuli dengan tindakan yang lebih keras menerusi "perang istilah" sehingga menampakkan apa yang terkandung dalam prinsip Islam sebagai sesuatu yang perlu dilenyapkan kerana ia mengundang kepada konflik, pergaduhan dan sengketa. Dunia tidak akan aman selagi Islam tidak dimusnahkan.

Untuk memusnahkan keyakinan umat Islam, serangan hendaklah diperhebatkan menerusi pertembungan falsafah dan asas pemikiran. Pengalaman ketika menjajah negara-negara Islam secara fizikal dijadikan petunjuk bahawa keyakinan umat Islam tidak mudah terjejas oleh kerana keyakinan keimanan mereka adalah kental. Atas kesedaran itu mereka mula menggunakan ketajaman berfikir untuk mengubah asas falsafah agama sehingga menyakinkan sebahagian besar generasi intelektual muslim yang terdedah dengan asas pengetahuan Barat. Gerakan itu semakin hari semakin berjaya apabila ramai intelektual muslim mula tergugat asas falsafah agamanya sehingga tanpa disedari memperkembangkan liberalisme dan pluralisme agama.

Beberapa tahun lalu, aliran pemikiran liberalisme dan pluralisme agama tidak begitu berkembang di Malaysia berbanding Indonesia. Hari ini, dalam perkembangan teknologi yang serba canggih dan dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia semakin kehilangan ketahanan pemikiran dan asas falsafah Islam sehingga segelintir pemimpin Islam mula berkecamuk dengan paradok.

Atas pemahaman mereka yang semakin silap mengenai konsep kemajmukan, menyebabkan mereka melihat semua agama mempunyai nilai sama, yakni mengajak manusia melakukan kebaikan dan hidup secara aman. Perbezaannya adalah dari segi amalan, tetapi destinasinya adalah sama dan mula menggunakan pemahaman yang cetek terhadap beberapa ayat al-Quran tanpa mengikut konteksnya bagi mewajarkan pendirian tersebut. Misalnya, pendirian "tiada paksaan dalam beragama" disama ertikan sebagai setiap orang tidak diwajibkan bersembahyang lima kali sehari kerana sembahyang itu hak individu. Ini adalah bercanggah dengan keyakinan awal umat Islam bahawa "sembahyang itu adalah tiang agama." Makna, sesebuah rumah akan runtuh apabila tiangnya runtuh. Seseorang itu akan terkeluar dari agamanya jika tidak bersembahyang.

Setiap orang Islam perlu memahami bahawa pluralisme dan liberalisme agama yang sedang berkembang di Malaysia bukan sahaja merupakan agenda Barat dalam siri penjahahan bentuk baharu bahkan ia merupakan strategi untuk menghancurkan Islam menerusi rasionalisme ilmiah berdasarkan kaedah serangan pemikiran.

No comments:

Post a Comment

~ Assalammuailaikum ~

~ Dah Baca Entry?? ~

~ Kalau Dah Baca...Komen La Banyak-Banyak Yer ~

~ Terima Kasih ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...