Penyampai Radio Tidak Dibenar Ke Udara Berhubung Kematian Jururawat Diraja

LONDON: Seorang jururawat di hospital yang merawat isteri Putera William, Catherine yang sedang mengandung, telah ditemui mati disyaki membunuh diri beberapa hari setelah menerima panggilan 'penyamaran dan usikan' dari stesen radio Australia.

Pasangan diraja berkata mereka "amat sedih" dengan kematian Jacintha Saldanha pada Jumaat, dan stesen radio mengumumkan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap dua penyampainya yang membuat panggilan, sehingga notis selanjutnya.

Polis berkata kematian Saldanha tidak dapat dijelaskan tetapi tidak dianggap sebagai mencurigakan.

Majikannya, hospital swasta King Edward VII di pusat bandar London, enggan mengulas mengenai laporan media yang mendakwa bahawa dia telah mencabut nyawanya sendiri.

Saldanha telah menerima panggilan 'usikan' daripada dua penyampai yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth II dan bapa William Putera Charles, sebelum menyerahkan panggilan kepada rakan sekerja yang mendedahkan tentang butir-butir keadaan Kate.

Panggilan palsu itu telah menimbulkan kekecohan di media global, sehari selepas istana mendedahkan bahawa Kate telah hamil berikutan kemasukannya ke hospital pada hari Isnin dengan alahan yang teruk. Kate di hospital selama tiga malam.

Dalam apa yang digelar sebagai "gurauan diraja terbesar", penyampai Mel Greig dari stesen 2Day Sydney FM membuat panggilan ke hospital pada Selasa berpura-pura menjadi ratu dan meminta untuk bercakap dengan Kate Middleton.

Saldanha berkata, "Oh yes, just hold on, Ma'am", sebelum menyerahkan panggilan kepada jururawat lain yang mendedahkan tentang keadaan Kate.

Pemilik 2Day FM, Southern Cross Austereo (SCA) berkata Greig dan penyampai bersama Michael Kristian "kedua-duanya amat terkejut" menerima berita kematian Saldanha.

"SCA dan kedua penyampai telah memutuskan mereka tidak akan kembali kepada rancangan radio sehingga notis selanjutnya untuk apa yang hanya boleh digambarkan sebagai satu tragedi," stesen berkata dalam satu kenyataan.

Ketua eksekutif hospital, John Lofthouse, berkata kematian jururawat itu adalah "tragis".

"Jacintha adalah seorang jururawat kelas pertama yang menjaga beratus-ratus pesakit dengan bersungguh-sungguh semasa beliau dengan kami" sejak empat tahun lepas," katanya.

"Semua orang terkejut dengan kehilangan rakan sekerja yang amat disayangi dan dihargai."

Beliau berkata pihak hospital yang menjadi kegemaran kerabat selama bertahun-tahun, telah cuba untuk membantu Saldanha "melalui masanya yang amat sukar" selepas panggilan tersebut mencetuskan liputan media yang meluas.

Keluarga jururawat, yang dilaporkan mempunyai dua orang anak, merayu untuk privasi.

"Kami sebagai sebuah keluarga amat sedih dengan kehilangan Jacintha yang kami cintai," kata mereka dalam satu kenyataan.

Istana St James, pejabat William dan Kate, juga mengucapkan takziah dan menegaskan bahawa dia tidak mengadu tentang panggilan gurauan itu.

"The Duke dan Duchess of Cambridge amat sedih mengetahui kematian Jacintha Saldanha," menurut kenyataan istana.

Polis berkata, mereka telah menerima panggilan untuk ke alamat berhampiran hospital pada pagi Jumaat berikutan laporan bahawa seorang wanita tidak sedarkan diri, tetapi dia telah disahkan mati di tempat kejadian.

"Kematian itu dianggap sebagai tidak dapat dijelaskan," menurut satu kenyataan, manakala seorang jurucakap berkata keputusan bedah siasat akan diketahui hujung minggu ini.

Penyampai Australia telah menegaskan panggilan mereka adalah ringan dan Putera Charles juga berjenaka mengenai kejadian itu.

Tetapi berita kematian jururawat mencetuskan kemarahan di laman rangkaian sosial.

Lebih daripada 8,300 komen dibuat di halaman Facebook 2Day FM pada awal Sabtu, sesetengah mengatakan Greig dan Kristian pembunuh dan dengan marahnya menggesa mereka dibuang kerja.
 
-AFP

Sumber : mStar Online

2 comments:

  1. Kenapakah pilih untuk bunuh diri...aduh. Prank yang menyebabkan kematian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. entahlah..mungkin tertekan sangat kot..kecian la kat nurse tu...

      Delete

~ Assalammuailaikum ~

~ Dah Baca Entry?? ~

~ Kalau Dah Baca...Komen La Banyak-Banyak Yer ~

~ Terima Kasih ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...