LONDON:
Seorang pelajar Felda dari Universiti Lim Kok Wing, Mohd Fazli
Fadzillah, 24 yang meninggal dunia selepas berjoging pada Rabu lalu
telah memberikan satu ucapan penuh emosi dalam satu majlis pada bulan
lalu.
Dalam ucapannya allahyarham mengucapkan
terima kasih kepada Felda kerana mengabulkan impiannya untuk melanjutkan
pelajaran di luar negara.
Allahyarham menyampaikan ucapannya di
hadapan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan serta Pengarah Besar Felda,
Faizoull Ahmad di kampus universiti berkenaan di London.
Dalam ucapannya, allahyarham berkata,
“Masih segar lagi dalam ingatan saya hari bersejarah di mana saya telah
dipilih antara 100 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran satu
semester di luar negara. Sukar saya hendak mempercayainya. Sejak di
sekolah menengah, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki di negara
ini, berjalan di kalangan warganya dan menghirup udara negara ini. Ia
adalah satu impian yang menjadi kenyataan. Terima kasih Felda,” katanya
yang disambut dengan tepukan gemuruh dari pelajar-pelajar lain yang
datang bersama-sama dengannya untuk melanjutkan pelajaran di tahun akhir
di kampus Univerisiti Lim Kok Wing di London.
Semasa ucapannya, allahyarham mengimbau
kembali pada hari pertama dia tiba di London, "Malam itu sejuk, saya
teringatkan cuaca panas di Malaysia, saya rindukan kampung halaman, saya
rindukan ayah, saya rindukan ibu, saya rindukan rakan-rakan, asam pedas
ikan pari dan keropok lekor. Tetapi ini bukan satu percutian atau
berbulan madu bagi kami. Kami mempunyai satu misi, kami perlu
mengharungi banyak rintangan dan bersama kami perlu berubah untuk Felda
dan negara kami Malaysia."
Ucapan bersemangat dan penuh emosi itu
merupakan ucapan terakhir bagi pelajar Creative Imaging dan Digital
Photography dari Felda Papan Timur, Johor, yang rebah dan meninggal
dunia pagi semalam ketika menghadiri program empat hari Kepimpinan Belia
Felda di Chingford.
Pengarah Pendidikan Malaysia di England
dan Ireland, Dr Mohd Anizu Mohd Nor yang menghadiri program berkenaan
yang bermula pada Selasa lalu berkata, allahyarham Fazli telah pergi
berjoging pada paginya dan kembali semula pada pukul 8 pagi sebelum
rebah di dewan makan. Bagaimanapun, allahyarham pulih dan mengambil
secawan kopi lalu keluar semula sebelum rebah untuk kali kedua.
"Anggota paramedik dan seorang doktor
yang tiba kemudian cuba memberikan bantuan perubatan namun allahyarham
disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi," katanya.
Mayat mangsa telah dibawa ke pejabat
koroner Essex dan Pengarah Pengembumian dari London Timur telah
dihubungi bagi urusan membawa jenazah ke sebuah hospital. Mayat mangsa
dijangka akan dibedah siasat sebelum dibawa pulang.
Dr Anizu juga berkata urusan untuk
membawa dua orang ahli keluarga allahyarham telah dibuat dan salah
seorang darinya adalah bapa allahyarham yang akan diterbangkan ke
London.
Kejadian itu telah mengejutkan
pelajar-pelajar lain yang berada di Pusat Aktiviti Gilwell, Chingford
dan ada di antara mereka yang menangis apabila mendengar berita
tersebut.
Program tersebut kemudian diteruskan dengan bacaan doa untuk allahyarham Mohd Fazli.
p/s :Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham
Mohd Fazli Fadzillah yang telah kembali kerahmatullah pada rabu
baru-baru ni...Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dikalangan
orang yang beriman..Al-Fatihah...
No comments:
Post a Comment
~ Assalammuailaikum ~
~ Dah Baca Entry?? ~
~ Kalau Dah Baca...Komen La Banyak-Banyak Yer ~
~ Terima Kasih ~